GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli yang maut akibat diserang hidupan liar dipercayai harimau belang, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di kawasan cerun dalam hutan dekat Pos Pasik, di sini, pada pukul 11.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata operasi membawa keluar mayat mangsa mengambil masa kira-kira sejam 45 minit, ekoran kedudukannya yang berada di cerun dan lebih kurang 300 meter dari kawasan pasukan mencari dan menyelamat (SAR), tiba di lokasi berkenaan.

"Selain tiada bahagian kaki kiri, mangsa turut ditemukan dengan kesan kecederaan di bahagian punggung dan hilang sebahagian kepala, dipercayai telah dibaham haiwan berkenaan.

"Berdasarkan kesan kecederaan juga dipercayai mangsa mula diterkam di bahagian leher terlebih dahulu, sebelum diseret ke dalam kawasan hutan," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Gua Musang hari ini.

Sik berkata mayat mangsa dibawa keluar oleh pasukan SAR, sebelum tiba di unit forensik Hospital Gua Musang pada pukul 2.50 petang untuk proses seterusnya, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengekut (SDR).

"Operasi tersebut melibatkan seramai 27 anggota keselamatan terdiri daripada polis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), bomba, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.

Sik turut menasihatkan penduduk Orang Asli di sekitar Pos Pasik agar sentiasa berwaspada dalam melakukan aktiviti pertanian serta mencari hasil hutan, dan sentiasa bergerak dalam kumpulan.

-- BERNAMA